BERKATILAH UMURMU DENGAN 4 PERKARA
Seandainya kita
diberi umur untuk hidup oleh Allah hingga 50 tahun, andaikan umur kita saat ini
sudah 45 tahun, maka baki umur yang tersisa ada 5 tahun lagi, jika hari ini
kita telah pun berumur 49 tahun, bererti sisa umur kita ada 1 tahun lagi.1
tahun itu adalah waktu yang sangat
singkat, tidak terasa detik demi detik,minggu demi minggu lalu setahun itu
telah pun berlalu, tidak terasa ajal sudah di depan mata, jadi bagaimanakah
persiapan kita menjelang kehidupan hakiki yang penuh berkat?
Oleh yang demikian, Rasulullah SAW telah meninggalkan
satu pesanan yang amat berharga buat kita semua sebagai umatnya. Baginda telah
bersabda: “Memberi sedekah, menyuruh pada kebaikan, berbakti kepada ibu bapa
dan silaturahim dapat mengubah penderitaan menjadi kebahagiaan, menambah berkat
umur dan menolak kejahatan.” (Hadis riwayat Abu Naim).
Dengan ini, empat perkara di atas sangat perlu
dititikberatkan oleh kita semua sebagai umat islam dalam meraih keberkatan
hidup dan keredhaan Allah demi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Maka seharusnya
kita jadikan elemen tersebut sebagai “the way of life”.
Perkara pertama yang disentuh oleh Rasulullah S.A.W ialah
bersedekah. Semua orang mampu bersedekah kerana pemahaman sedekah itu
tidak hanya berupa bentuk fizikal seperti wang ringgit atau harta benda
semata-mata. Hatta yang tidak berharta benda pun masih mampu bersedekah, iaitu
dengan menggunakan tenaga kudrat fizikal tubuh badan untuk membantu orang lain.
Apatah lagi seandainya kita dianugerahkan Allah dengan kemewahan dan sudah
pasti lebih mudah untuk mengamalkan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW
itu.
Abu Hurairah pernah memberitahu bahawa Rasulullah SAW ada
ditanyakan: “Wahai Rasulullah SAW, sedekah apakah yang paling mulia?,lalu
Baginda menjawab: “sedekah orang yang tidak mampu dan mulakanlah (memberi
sedekah) pada orang yang banyak tanggungannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan
Abu Daud).
Sabda Rasulullah ini adalah satu penghargaan besar kepada
golongan kurang berkemampuan tetapi masih bersemangat menghulurkan sedaya
upayanya memberikan sedekah kepada orang lain. Inilah keindahan dalam Islam
kerana sikap saling membantu dititikberatkan dalam membina masyarakat.
Melalui budaya bersedekah itu akan membentuk landskap
masyarakat penyayang dan prihatin. Perasaan kebersamaan dan semangat kekitaan
pasti wujud kukuh dan berakar umbi teguh dalam masyarakat yang saling membantu
melalui pemberian sedekah.
Perkara kedua yang disarankan Baginda SAW ialah bersikap
sentiasa menyuruh ke arah kemanfaatan dan kebaikan. Skop menyuruh kepada
kebaikan sebenarnya tidak hanya terhad kepada dai atau pendakwah saja. Semua
mukmin mesti berasa terpanggil untuk bersama-sama mengajak insan lain kepada
kebaikan. Menyuruh kepada kebaikan juga bermakna kita melaksanakan seruan ke
jalan Allah.
Atas sebab pentingnya aspek ini, Saidina Ali bin Abi
Talib turut mewasiatkan kepada kita berbuat demikian. Kata beliau: “Serulah
manusia ke jalan Allah (amar makruf) dan cegahlah mereka daripada kemungkaran
(nahi mungkar) kerana apabila kedua-dua perkara ini ditinggalkan, maka
tunggulah kebinasaan umat ini.”
Jadi, apa saja kesempatan hidup seharusnya kita
menggunakannya dengan menggiatkan satu gaya hidup saling menasihati ke arah
kebaikan. Tidaklah wajar dalam sebuah masyarakat Muslimin saling menutup mata
seandainya melihat adanya sesuatu yang mungkar.
Seterusnya, aspek berbakti kepada kedua-dua ibu bapa juga
diberitahu oleh Rasulullah SAW sebagai elemen yang akan memancarkan keberkatan
kepada umur dan kehidupan kita. Senario semasa jelas masih banyak yang tergamak
mengabaikan perkara ini dan tidak menganggapnya sebagai penting untuk dihayati.
Sesungguhnya persoalan mengabaikan aspek memelihara dan
berbakti kepada ibu bapa akan mengundang laknat Allah dan pastinya seksa maha
pedih menanti anak yang derhaka itu. Seseorang anak yang derhaka dan
mengabaikan tanggungjawabnya kepada ibu bapa tidak mungkin memperoleh
keberkatan dalam apa saja di atas dunia ini, apatah lagi di akhirat kelak.
Allah ingatkan kita: yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan
janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat ihsanlah
(berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapa.” (Surah An-Nisa; ayat 36). Ini
perintah Allah dan sesiapa ingkar mematuhinya bermakna melakukan satu dosa
besar di sisi-Nya.
Perkara keempat memanfaatkan umur dan memberikan
kebahagiaan kehidupan kita dengan sentiasa memelihara hubungan sesama insan
sama ada dengan ibu bapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan juga sesama ummah.
Pesan Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang ingin murah rezeki dan panjang
umurnya, hendaklah dia menyambung hubungan dengan saudaranya (silaturahim). (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim).Namun, senario hari ini jelas menunjukkan fenomena
bertegang leher dan berpisah-pisah sudah semakin menebal dalam masyarakat.