Kearah Majlis Perkahwinan Yang Berkat

Insyaa-Allah syarat utama sebuah kenduri perkahwinan yang diberkati Tuhan yang mencipta sekelian alam adalah yang tidak mengandungi pembaziran. Artikel ini diperolehi dan digunakan untuk tatapan umum bagi tujuan kesedaran


* Ini bermakna pakaian yang dibuat ataupun ditempah adalah pakaian yang boleh dipakai semula selepas kenduri perkahwinan berakhir. Sama ada untuk ke pejabat ataupun bersiar-siar.

* Kad perkahwinan yang ditempah mesti mestilah sekadar memenuhi tujuannya, kerana kad itu hanya laku pada tarikh perkahwinan itu sahaja. Kad itu dibuang ke dalam tong sampah selepas tarikh itu, kerana sudah tidak berguna. Hanya maklumat seperti nama, alamat dan tarikh yang diperlukan di dalam kad tersebut. Kad yang berharga beberapa puluh sen sekeping sudah mencukupi.

* Tiada ‘buah tangan’ yang diberikan kepada tetamu yang tidak boleh diguna pakai, kerana ianya hanya satu pembaziran. Contohnya, pot pouri, tuala sebesar tangan sekadar hiasan, cawan hiasan, sudu hiasan. Hanya pemilik kedai aksesori perkahwinan yang membuat keuntungan di atas pembaziran tersebut.

* Tiada hiasan yang berlebihan ketika kenduri kahwin, sekadar membersihkan dalaman dan luar rumah. Jika ada bajet lebih, cukup sekadar mengecat rumah. Masih ramai orang yang tidak bernasib baik sedang menantikan bantuan kita bagi mengharungi hidup sebagai warga tua, anak yatim, ibu tunggal dan sebagainya.

* Dulang hantaran dihadkan kepada maksimun 5 sahaja. Itupun sudah banyak.

* Jika dihadiahkan dengan sebentuk cincin emas kuning (yang harganya lebih stabil berbanding emas putih) sudah memadai, tidak perlu lagi hantaran lain yang hanya dilihat untuk ‘menunjuk-nunjuk’ dan banyak yang menimbulkan riak.

* Duit Hantaran ditukar kepada Mas Kahwin dan jumlah RM3,000 sudah lebih dari mencukupi. Jika ingin diberikan lebih, lebih baik gunakan duit mas kahwin itu bagi membayar down payment bagi sebuah apartmen ataupun rumah. Perjanjian pembelian rumah didaftarkan di atas nama pengantin perempuan sahaja. Letakkan perjanjian jual beli rumah itu di atas dulang sebagai ‘Mas Kahwin’ bersama RM1,00O yang sebaiknya dibank in ke dalam akaun pengantin perempuan selepas akad nikah.

* Elakkan membeli rantai, gelang bagi dihadiahkan kepada pengantin perempuan jika perbelanjaan itu memerlukan kita menanguhkan majlish pernikahan ataupun menyebabkan kita perlu berhutang.

* Buat keputusan untuk menikahi calon pengantin setelah mendapat petunjuk dari ‘Sembahyang Isthikarah’

* Tukarkan tajuk majlis perkahwinan kepada Kenduri Kesyukuran bagi meraihkan kedatangan ‘menantu’ dan bagi memaklumkan kepada orang ramai bahawa anak kita sudah bernikah dengan sah. Di mana tetamu di jemput untuk makan ‘FREE’ tanpa perlu membayar ‘cukai’.

* Tiada lagi muzik-muzik latar yang membuatkan gegendang telinga tetamu hampir pecah. Jika perlukan alunan muzik, dapatkan kaset yang hanya ada latar belakang muzik semata-mata, sekadar mencipta suatu suasana yang tenang dan ceria. Duit habis dibayar, tetapi tetamu asyik mengadu susah untuk berbicara dengan tetamu lain di majlis itu, kerana terlalu bising dengan muzik.

* Tempat persandingan… Jika merasakan tidak perlu lagi duit untuk dibelanjakan bagi membantu orang yang miskin, anak yatim, warga tua yang hilang tempat bergantung dan yang memerlukan duit untuk sesuap nasi.
* Tiada lagi kos mengupah mak andam ‘profesional’ yang menukarkan wajah seorang wanita normal kepada wajah pelakon opera cina. Sehingga hilang wajah asal pasangan berkahwin itu. Cukup sekadar kos mengadam yang asas.

Majlis kenduri perkahwinan yang diadakan seperti di atas, insyaa-Allah bebas dari sifat ‘Menunjuk-nunjuk ataupun riak’. Bukan sahaja tetamu yang akan gembira, pasangan pengantin, ibubapa, dan orang ramai juga gembira kerana tiada bebanan kerja yang melampau dan kos juga rendah tidak perlu berhutang.

Jika kita benar-benar ada duit ekstra, lebih baik kita gunakan bagi memberikan RM 10 ataupun RM50 bagi setiap orang yang menghadiri kenduri perkahwinan, itu sudah pasti akan dihargai oleh setiap tetamu sehingga ke akhir hayat mereka.

Maklumat di atas adalah hasil dari kajian peribadi dan pandangan yang telah diberikan kepada saya selama ini.

Sedih apabila melihat kenduri perkahwinan yang tidak berpijak di atas bumi Allah



                                                   ustaz Azhar Idrus











BERKATILAH UMURMU DENGAN 4 PERKARA
Seandainya kita diberi umur untuk hidup oleh Allah hingga 50 tahun, andaikan umur kita saat ini sudah 45 tahun, maka baki umur yang tersisa ada 5 tahun lagi, jika hari ini kita telah pun berumur 49 tahun, bererti sisa umur kita ada 1 tahun lagi.1 tahun itu  adalah waktu yang sangat singkat, tidak terasa detik demi detik,minggu demi minggu lalu setahun itu telah pun berlalu, tidak terasa ajal sudah di depan mata, jadi bagaimanakah persiapan kita menjelang kehidupan hakiki yang penuh berkat?
Oleh yang demikian, Rasulullah SAW telah meninggalkan satu pesanan yang amat berharga buat kita semua sebagai umatnya. Baginda telah bersabda: “Memberi sedekah, menyuruh pada kebaikan, berbakti kepada ibu bapa dan silaturahim dapat mengubah penderitaan menjadi kebahagiaan, menambah berkat umur dan menolak kejahatan.” (Hadis riwayat Abu Naim).
Dengan ini, empat perkara di atas sangat perlu dititikberatkan oleh kita semua sebagai umat islam dalam meraih keberkatan hidup dan keredhaan Allah demi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Maka seharusnya kita jadikan elemen tersebut sebagai “the way of life”.
Perkara pertama yang disentuh oleh Rasulullah S.A.W ialah bersedekah. Semua orang mampu bersedekah kerana pemahaman sedekah  itu tidak hanya berupa bentuk fizikal seperti wang ringgit atau harta benda semata-mata. Hatta yang tidak berharta benda pun masih mampu bersedekah, iaitu dengan menggunakan tenaga kudrat fizikal tubuh badan untuk membantu orang lain. Apatah lagi seandainya kita dianugerahkan Allah dengan kemewahan dan sudah pasti lebih mudah untuk mengamalkan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW itu.
Abu Hurairah pernah memberitahu bahawa Rasulullah SAW ada ditanyakan: “Wahai Rasulullah SAW, sedekah apakah yang paling mulia?,lalu Baginda menjawab: “sedekah orang yang tidak mampu dan mulakanlah (memberi sedekah) pada orang yang banyak tanggungannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).
Sabda Rasulullah ini adalah satu penghargaan besar kepada golongan kurang berkemampuan tetapi masih bersemangat menghulurkan sedaya upayanya memberikan sedekah kepada orang lain. Inilah keindahan dalam Islam kerana sikap saling membantu dititikberatkan dalam membina masyarakat.
Melalui budaya bersedekah itu akan membentuk landskap masyarakat penyayang dan prihatin. Perasaan kebersamaan dan semangat kekitaan pasti wujud kukuh dan berakar umbi teguh dalam masyarakat yang saling membantu melalui pemberian sedekah.
Perkara kedua yang disarankan Baginda SAW ialah bersikap sentiasa menyuruh ke arah kemanfaatan dan kebaikan. Skop menyuruh kepada kebaikan sebenarnya tidak hanya terhad kepada dai atau pendakwah saja. Semua mukmin mesti berasa terpanggil untuk bersama-sama mengajak insan lain kepada kebaikan. Menyuruh kepada kebaikan juga bermakna kita melaksanakan seruan ke jalan Allah.
Atas sebab pentingnya aspek ini, Saidina Ali bin Abi Talib turut mewasiatkan kepada kita berbuat demikian. Kata beliau: “Serulah manusia ke jalan Allah (amar makruf) dan cegahlah mereka daripada kemungkaran (nahi mungkar) kerana apabila kedua-dua perkara ini ditinggalkan, maka tunggulah kebinasaan umat ini.”
Jadi, apa saja kesempatan hidup seharusnya kita menggunakannya dengan menggiatkan satu gaya hidup saling menasihati ke arah kebaikan. Tidaklah wajar dalam sebuah masyarakat Muslimin saling menutup mata seandainya melihat adanya sesuatu yang mungkar.
Seterusnya, aspek berbakti kepada kedua-dua ibu bapa juga diberitahu oleh Rasulullah SAW sebagai elemen yang akan memancarkan keberkatan kepada umur dan kehidupan kita. Senario semasa jelas masih banyak yang tergamak mengabaikan perkara ini dan tidak menganggapnya sebagai penting untuk dihayati.
Sesungguhnya persoalan mengabaikan aspek memelihara dan berbakti kepada ibu bapa akan mengundang laknat Allah dan pastinya seksa maha pedih menanti anak yang derhaka itu. Seseorang anak yang derhaka dan mengabaikan tanggungjawabnya kepada ibu bapa tidak mungkin memperoleh keberkatan dalam apa saja di atas dunia ini, apatah lagi di akhirat kelak.
Allah ingatkan kita: yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat ihsanlah (berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapa.” (Surah An-Nisa; ayat 36). Ini perintah Allah dan sesiapa ingkar mematuhinya bermakna melakukan satu dosa besar di sisi-Nya.
Perkara keempat memanfaatkan umur dan memberikan kebahagiaan kehidupan kita dengan sentiasa memelihara hubungan sesama insan sama ada dengan ibu bapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan juga sesama ummah. Pesan Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang ingin murah rezeki dan panjang umurnya, hendaklah dia menyambung hubungan dengan saudaranya (silaturahim). (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).Namun, senario hari ini jelas menunjukkan fenomena bertegang leher dan berpisah-pisah sudah semakin menebal dalam masyarakat.


REZEKI YANG BERKAT DARI ALLAH SWT


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم


Selalunya manusia itu apabila berkaitan dengan berkah (berkat, barakah) menjuruskan kepada rezeki dan menilai disegi banyaknya keuntungan yang diperolehi. Sebaliknya mereka beranggapan tiada keberkatan daripada Allah SWT apabila rezeki yang mendatang itu sedikit sedangkan usaha yang dikeluarkan cukup banyak dan berlipat ganda, namun kepada kedua kedudukan tersebut manusia selalu terlupa dan tidak mahu bersyukur kepada Tuhan.

Kehidupan yang berkat itu sebenarnya akan sentiasa mencukupkan dan kecukupan itu membolehkan keberkatan didalam kehidupan. Apabila mempersoalkan amaun banyak atau sedikit, bererti manusia itu tidak pernah puas sehinggakan tidak tahu mereka bersyukur, maka tiadalah keberkatan dari Tuhan didalam kehidupan. Sesungguhnya segala yang dimiliki oleh manusia diatas muka bumi ini walau sebanyak mana atau sangat sedikit, mahu pun mungkin tidak punya suatu apa, sebenarnya segala itu adalah kurnia daripada Allah SWT. 

“Sesungguhnya Allah yang Maha Luas KurniaNya lagi Maha Tinggi akan menguji setiap hambaNya dengan rezeki yang diberikan. Barang siapa yang redha dengan pemberian Allah, maka Allah akan memberkati dan melapangkan rezeki baginya dan barang siapa yang tidak redha nescaya rezekinya tidak diberkati” {HR Ahmad}

Nabi Muhammad SAW melalui Sabda Baginda diatas sekali gus menjelaskan bahawa keberkatan dari Allah SWT itu tidak ditentukan amaun banyak atau sedikit rezeki yang diperolehi. Keberkatan Illahi itu terletak diatas rasa keredhaan hamba Tuhan keatas apa sahaja bentuk mahu pun jumlah kurniaanNya. Sebaliknya rezeki itu sendiri merupakan perujian daripada Allah SWT kepada manusia sejauh mana mereka benar benar bertaqwa dan berserah diri kepadaNya.

“Wahai orang orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar benar takqwa kepadaNya, dan janganlah kamu mati melainkan dengan berserah diri” {3:102}

Allah SWT menggarapkan dengan jelas didalam FirmanNya, sesungguhnya keberkatan dariNya adalah bersangkutan sepenuhnya terhadap keimanan dan ketaqwaan sebenar kepadaNya. Jika manusia itu beriman dan bertaqwa kepadaNya, Allah SWT menjanjikan keberkatan yang tiada terhingga, sehingga tidak terduga datangnya dari petala langit mahu pun khazanah dari dalam perut bumi. Sesungguhnya keberkatan daripada Allah SWT itu mengatasi jumlah rezeki yang mungkin diperolehi.

Penjelasan selanjutnya adalah Allah SWT telah menetapkan garisan bahawa keberkatan terhadap kehidupan manusia diatas muka bumi ini akan berlanjutan sehingga keakhirat iaitu apabila Kalamullah, al Quran nulKareem itu menjadi ikutan dengan ketaatan dengan penuh keredhaan. Keimanan terhadap Kalam kalam Tuhan bukan sekadar pengucapan percaya tetapi adalah penyataan hati, ikral dan kerja buat yang mencakupi segala aspek kehidupan. Ketaqwaan itu sebenarnya ialah melakukan suruhan dan meninggalkan tegahanNyadengan rela dan redha! Keimanan dan ketaqwaan itu hanyalah bermula dengan keredhaan manusia terhadap tuntunan dan tuntutan Kalamulah, Kitabullah! Maka Tuhan menjanjikan kehidupan manusia didunia dan diakhirat akan sentiasa beroleh keberkatan Illahi dari rezeki yang dikurniakan dalam jumlah yang banyak mahu pun sedikit.

“Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertaqwa, pasti Kami akan melimpahkan mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (Ayat ayat Kami), maka Kami siksa mereka sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan” {7:96}

Kebanyakan manusia itu tidak redha, apabila dibaca dan disampaikan Kalamullah, mereka menolak dan menentang. Mengaku beriman tetapi melahirkan pelbagai alasan rasa rasa bimbang didalam hati kehidupan akan menjadi susah dan payah lalu menolak Kalamullah sehingga mereka menjadi orang orang yang munafik dan fasik. Mereka menentang Ayat ayat Tuhan, menjidal dengan ilmu yang diakal akalkan oleh fikiran mengatakan Kalamullah tidak relevan malah akan membawa kemunduran kehidupan sehingga mereka menjadi orang orang yang musyrik dan kufur. 

Sesungguhnya sseorang manusia yang tidak redha kepada Kalamullah, ianya tidak akan mendapat keberkatan Tuhan lantaran mendustai Kalamullah. Urusan kehidupan didunia hanya diliputi kekayaan dan kemewahan yang diselaputi penyelewengan, penindasan dan tipu mulihat. Mereka seperti berasa bahagia dan gembira dengan bergelak ketawa tetapi tiada merasakan kepuasan; kelihatan kaya serta mewah namun sentiasa tidak merasakan cukup dengan apa yang ada. Sedemikian itu mereka sentiasa didalam keadaan resah, kegelisahan dan bagai masa selalu suntuk dan takut tiada kesempatan mengejar urusan duniawi sehingga menjadikan mereka sentiasa bersikap rakus, tamak haloba serta sangat kikir dan kedekut dengan berkira kira untuk berbelanja kerana ketakutan kehabisan wang dan harta yang dimiliki. 

“Dan ini (al Quran) adalah suatu peringatan yang mempunyai berkah yang telah Kami turunkan. Maka mengapakah kamu mengingkarinya” {21:50}

Sehubungan itu, maka jelaslah bahawa rezeki yang termulia dengan penuh keberkatan dari sisi Allah SWT kepada manusia itu yang sebenarnya adalah Kalamulah, yakni al Quran nulKareem, Kitabullah! Sesungguhnya penerimaan manusia penuh keredhaan terhadap Kalamullah itulah yang membawa keberkatan daripada Allah SWT kepada kehidupan manusia itu dari dunia hingga keakhirat. Tiada keredhaan bermaksud keingkaran manusia kepada Kalamullah, maka bererti tiadalah keberkatan Allah SWT disepanjang kehidupan manusia didunia sampailah keakhirat. 

Sehubungan yang sedemikian itu, maka kumandanglah Kalam kalam Allah SWT diatas muka bumi, dibaca dan disampaikan kepada keseluruhan manusia. Diatas rasa keredhaan kepada Kalamullah sebagai rezeki termulia daripada Allah SWT yang penuh keberkatan Illahi, maka itulah infak kepada jihad fisabilillah yakni menegakan Kalimat Tuhan diatas muka bumi sehingga akhirat. 

Urusan duniawi ini hanyalah seperti meminum air laut, semakin banyak diminum semakin bertambah terasa haus dan dahaga, sehingga tidak mencukupi dan tiada kepuasan. Sedemikian itu juga kefardhuan manusia kepada urusan yang membawa kehidupan akhirat kelak, maka Allah SWT menurunkan al Quran itu sebagai petunjuk dan rahmat daripadaNya buat manusia itu agar mendapat peringatan takut dan khabar gembira. Kalamullah itu tuntunan dan tuntutan Tuhan untuk mengimbangi kegiatan kehidupan manusia itu agar berada didalam keberkatan dariNya sentiasa. Sejauh mana manusia itu menerima dengan penuh keredhaan Kalamullah, maka disitu keberkatan dari Allah SWT terhadap keimanan dan ketaqwaan kepadaNya.

Adapun orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepadaNya niscaya Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat yang besar dariNya dan limpahan karuniaNya. Dan menunjuki mereka kepada jalan (shirath) yang lurus kepadaNya”{4:175}
Amin amin amin ya muji basa ilin ya Robbal’alamin. Sekian, Wassalam.