ALLAH SWT telah menjadikan kurma atau tamar dengan banyak
keistimewaan dan kelebihannya. Kurma adalah satu mukjizat dan sumber rezeki,
manfaat serta memberi kesihatan bagi kehidupan manusia.
Banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang menyebutkan
kelebihan dan keutamaan kurma. Antara lain Allah Taala berfirman yang
bermaksud: “Dan gegarlah ke arahmu batang pokok tamar itu, supaya gugur
kepadamu buah tamar yang masak.” – (Surah Maryam, ayat 25).
Allah memerintahkan Siti Maryam untuk menggegarkan batang
pokok kurma ketika melahirkan anaknya, Nabi Isa as. Tanpa seorang pun yang
membantunya, air mengalir di sisinya. Air itu kemudian diambil dan diminumnya
sebagai ganti cairan tubuh yang hilang ketika melahirkan Nabi Isa.
Firaun juga memilih batang kurma untuk menyalib orang
yang beriman kepada Tuhan Musa dan Harun sebagai azab bagi mereka kerana
kekuatan dan kekukuhan yang ada pada pokok itu. Penyihir itu berkata: “Kami
beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa.” (Surah Taaha,
ayat 70).
Mengenai kurma sebagai buah yang berkat, Rasulullah SAW
mewasiatkan kepada umatnya untuk memakannya ketika berbuka puasa.
Daripada Salman Ibnu Amir RA, sesungguhnya Rasulullah SAW
bersabda bermaksud: “Jika salah seorang di antara kamu akan berbuka puasa, maka
berbukalah dengan kurma sebab kurma itu berkat, kalau tiada, dengan air kerana
air itu bersih dan suci.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).
Daripada Anas RA berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW berbuka
puasa dengan beberapa rothab (kurma mekar yang dipetik dari pohonnya) sebelum
bersolat (Maghrib). Kalau tidak ada rothab, maka dengan beberapa kurma matang
(kering), kalau tidak ada, maka dengan beberapa teguk air.” (Hadis riwayat Abu
Daud dan Tirmizi).