Rezeki lumayan berkat rajin
“Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu”. Itulah perumpamaan
paling tepat untuk petani berjaya Zakaria Ahmad, 53, yang mampu meraih
pendapatan lumayan dengan mengusahakan pelbagai aktiviti berasaskan pertanian
termasuk kebun kecil getah, menternak udang galah dan ikan keli.
Dengan menggunakan tulang empat keratnya, beliau kini mampu tersenyum
bangga apabila semua hasil kerja tangan dan titik peluhnya berjaya menampakkan
hasil menguntungkan apabila meraih pendapatan mencecah RM7,000 sebulan.
Anak jati kelahiran Kampung Tengah Mukim Jeneri di sini, berkata selepas lebih 37
tahun bekerja membanting tulang menyara keluarga dengan pendapatan dari
menoreh getah di kebun pusaka bapanya, beliau bertekad untuk meningkatkan
taraf hidup dengan mengusahakan aktiviti pertanian alternatif yang mampu
menjana sumber kewangan.                                            
Zakaria yang turut memenangi beberapa anugerah termasuk Pekebun Kecil Jaya
sempena sambutan Hari Peladang tahun  lalu dan anugerah daripada Lembaga
Getah Malaysia (LGM), berkata beliau mula menoreh getah sejak berusia 16 tahun
dan ketika itu harga pasaran komoditi berkenaan terlalu rendah dan kadangkala
pendapatannya cukup sekadar menyara keperluan ahli keluarganya.
Beliau berkata, sehubungan itu, beliau nekad untuk menyertai skim LGM yang
melatih pekebun kecil getah mencuba teknologi menggunakan gas etilina untuk
merangsang pengeluaran susu getah berganda berbanding kaedah konvensional
yang diguna pakai sebelum itu.
“Rezeki saya semakin baik apabila teknologi yang diperkenalkan LGM mampu
menambah pendapatan, selain mampu melakukan aktiviti lain yang mampu
menjadi pendapatan sampingan.
“Jika dulu, saya terpaksa menoreh getah 28 hari sebulan untuk memperoleh
pendapatan tidak lebih RM2,000, kini dengan teknologi gas rangsangan itu
pendapatan saya mencecah RM5,000 sebulan dengan hanya keluar menoreh
sembilan atau 10 hari,” katanya.
Zakaria berkata, beliau adalah pekebun kecil getah pertama di kampungnya yang
mencuba teknologi LGM, hasil kejayaannya menjadi contoh dan pemangkin kepada
penduduk lain untuk merasai gelombang kemajuan teknologi baru yang boleh
diaplikasi dalam pertanian moden.
“Sikap positif menerima pembaharuan teknologi sangat penting untuk memperbaiki
taraf hidup petani kerana pada masa ini stigma takut untuk menerima
pembaharuan masih menebal di kalangan kelompok petani kerana mereka bimbang
pokok getah yang menjadi sumber utama pendapatan rosak sekali gus
menyebabkan pendapatan terjejas.
“Kejayaan saya hari ini membuka mata lebih ramai pekebun kecil getah khususnya
di Jeneri untuk menggunakan kemudahan disediakan kerajaan untuk kesenangan
masa depan,” katanya. Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, selain teknologi, LGM membekalkan
ilmu torehan yang betul bagi menjamin  jangka hayat pokok dan kulitnya tidak
terjejas serta terhindar daripada serangan penyakit. Dengan teknologi rangsangan
gas itu, beliau mempunyai masa lapang  yang boleh digunakan untuk melakukan
aktiviti lain termasuk menternak ikan keli secara kecil-kecilan diusahakan di
belakang rumahnya lebih lapan bulan lalu.
“Jika tidak keluar menoreh getah, saya akan menghabiskan masa membersihkan
kolam ikan keli di belakang rumah.  Kini saya mempunyai tujuh kolam dengan
setiap satu boleh memuatkan kira-kira 1,500 ekor ikan” .  Permintaan pasaran
terhadap ikan keli semakin baik kerana sebelum ini ia hanya digemari masyarakat
kampung, tetapi sejak  kebelakangan ini, permintaan ikan keli semakin meningkat
dan kadang-kala bekalan tidak mencukupi untuk menampung kehendak pasaran.
Hasil ternakan ikan kelinya dijual secara runcit di pasar malam atau kepada
pengusaha restoran dan gerai di sekitar kampungnya.  “Hasil jualan ikan keli saya
mampu memperoleh pendapatan antara RM 1,000 hingga RM 1,500 sebulan dan
wang itu disimpan untuk kegunaan hari tua di samping membiayai pengajian anak
pada masa akan datang,” katanya.
Selain menternak ikan keli, beliau juga terbabit dengan skim penternakan udang
galah secara berkelompok di kampungnya, sekali gus membolehkannya
memperoleh pendapatan tambahan RM 600 sebulan sebagai bayaran gaji menjaga
tiga kolam ternakan, selain menikmati hasil ternakan.
“Saya bersyukur dengan nikmat kesihatan yang Allah berikan kepada saya kerana
dalam usia separuh abad ini saya masih bertenaga melakukan tiga kerja dalam
satu masa tanpa mengharapkan bantuan sesiapa.
“Malah, saya bangga kerana dapat membuktikan kepada masyarakat bahawa kerja
bergelumang dengan selut, lumpur, semak dan bau hanyir ini mampu memberi 
rezeki yang berkat kepada keluarga,” katanya.



0 comments:

Post a Comment